Yamaha, Honda bangunkan enjin 250cc empat silinder saingi Kawasaki ZX-25R?

TAHUN ini, salah satu berita terbesar dalam industri motor adalah kembalinya enjin 250cc empat silinder dengan Kawasaki Ninja ZX-25R.

Kawasaki memperkenalkan NinjaZX-25R semasa pertunjukan Tokyo Motor Show pada Oktober 2019 lalu, walaupun pelancarannya ke dalam pasaran mengalami sedikit kelewatan gara-gara musuh halimunan COVID-19 namun ia tetap mendapat perhatian kesemua peminat dua roda dunia!
Jika anda menyukai motor yang diiktiraf sebagai 'legend' atau retro sudah pasti anda mengetahui akan jeritan enjin 250cc empat silinder yang pernah dikeluarkan empat jenama besar Jepun iaitu Kawasaki, Yamaha, Suzuki dan Honda.

Honda mempunyai CBR250RR, Yamaha memiliki FZR250, Kawasaki pula ZXR250 manakala Suzuki GSX-R250.
Sayangnya, keempat-empat jenama besar Jepun ini memutuskan untuk lebih fokus kepada motor berkuasa besar terutamanya disebabkan permintaan dan kos pembuatan.

KHABAR ANGIN YAMAHA YZF-R25M

Dua dekad berlalu, Kawasaki memutuskan untuk kembali menghasilkan enjin kapasiti 250cc dengan empat silinder melalui Kawasaki Ninja ZX-25R mereka.

Khabar angin menyatakan rupa YZF-R25M dikatakan seakan-akan abangnya Yamaha YZF-R1M

Sambutan hangat diterima ZX-25R membuatkan timbulnya khabar angin menyatakan Yamaha kini sedang membangunkan enjin 250cc empat silinder yang dikenali sebagai Yamaha YZF-R25M.

Pada saat artikel ini ditulis, masih belum terdapat pengesahan rasmi daripada Yamaha namun khabar angin ini datang dari Indonesia yang merupakan sasaran pasaran Kawasaki ZX-25R dan mungkin menjadi sasaran pasaran untuk pengeluar motor yang lain juga.

Jika benar, kemungkinan besar Yamaha akan menghasilkan motor yang lebih berorientasikan jalanan berbanding memasuki varian 'M' yang lebih berorientasikan spesifikasi tinggi dan lebih kepada motor trek.

Bagaimanapun, khabar angin masih tetap khabar angin...

HONDA CBR250RR-R?

Selain khabar angin mengenai Yamaha, turut bertiup kencang adalah khabar angin mengenai Honda bakal turut serta dalam perlumbaan enjin 250cc empat silinder.

Nama yang dispekulasikan adalah CBR250RR-R yang akan menampilkan enjin 250cc empat silinder baharu.

Katanya kemungkinan besar pelancarannya adalah pada tahun 2021, adakah ia benar atau tidak?

RUMUSANNYA?

Jika kita imbas sedikit, jenama apa pun yang menghasilkan enjin 250 empat silinder sudah pasti mendapat perhatian peminat dua roda.

Ini kerana jeritan enjin tersebut dengan kelajuan tertinggi yang sudah pasti melebihi mana-mana enjin 250 dua silinder sudah pasti menjadi igauan peminat motor seluruh dunia.

Malah, khabar angin mengenai pembangunan enjin 250 empat silinder Kawasaki ZX-25R juga berkicau selama beberapa tahun sebelum Kawasaki sendiri mengesahkan mengenai jentera baru itu.

Walau bagaimanapun, semuanya akan bergantung kepada pengeluar sama ada mereka mahu masuk semula ke kelas empat silinder 250cc atau tidak serta masa untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) enjin berkapasiti sedemikian rupa.

Malah tidak ketinggalan juga pasaran enjin 250cc dua silinder yang masih lagi berjalan sudah pasti pengeluar tidak mahu model sedia ada mereka tidak laku bukan?

Apa pun jika sah Yamaha dan Honda akan mengeluarkan jentera dengan enjin kapasiti 250cc empat silinder, ini sudah pasti membawa pertembungan dalam arena baharu 250cc!