Berita  | Style

P. Ramlee, Orang Asli Mahmeri jadi sumber inspirasi rekaan

APA sahaja yang kita lihat, rasa dan alami boleh dijadikan satu sumber inspirasi yang sangat kreatif.

Seni bukan hanya boleh diterjemahkan melalui lukisan, malah boleh juga dijelmakan menerusi pakaian.

Bagi pemenang Gold Award, Nur Awatif Adawiyah Abdul Aziz, keunikan topeng kayu yang diukir Orang Asli Mahmeri memberinya inspirasi untuk menghasilkan empat koleksi sempena UiTM Degree Fashion Show 2018.

"Inspirasi saya kali ini ialah dari Orang Asli Mahmeri, yang mana, mereka mempunyai keunikan tersendiri.

"Di Malaysia ada banyak jenis orang asli, tetapi Orang Asli Mahmeri merupakan satu-satunya yang membuat topeng mengunakan kayu,” katanya.
Menerangkan cabaran yang dihadapinya, Nur Awatif berkata, dia harus mengayakan kembali topeng tiga Dimensi (3D) menjadi dua dimensi (2D).

Rekaan Awatif Nur Awatif Adawiyah Abdul Aziz menampilkan keunikan topeng kayu yang diukir Orang Asli Mahmeri memberi inspirasi  pada pereka muda itu.

Namun, dengan bantuan tenaga pengajar, dia berjaya menyempurnakan kesemua empat koleksi dalam masa 14 minggu sebelum dipersembahkan kepada umum pada pertunjukan fesyen tersebut.

Lain pula ceritanya bagi, pemenang Anugerah Pilihan Alumni dan Bronze Award, Yusafizal Yusuf.

Dalam menghasilkan kelainan, Yusafizal menjadikan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai sumber inspirasi dalam mereka pakaiannya.

Baginya, ini merupakan satu penghargaan kepada seniman handalan itu.

Rekaan Yusafizal tidak ketinggalan berhadapan dengan cabaran khususnya memilih jenis kain untuk membuat koleksi tersebut.

Bercerita lanjut mengenai rekaan yang menggunakan P. Ramlee sebagai inspirasi, Yusafizal tidak menjadikan watak lakonan seniman itu secara langsung, sebaliknya, dia menggunakan filosofi dan konsep di atas rekaan.

"Disebabkan itulah penggunaan bahan sangat terhad dan saya menggunakan kain pelikat serta kain-kain yang bercorak petak dan belang serta berwarna klasik,” kata Yusafizal.

Yusafizal menjadikan P. Ramlee sebagai sumber inspirasi dalam mereka pakaiannya.

Seramai 58 pelajar tahun akhir sarjana muda seni reka fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam, telah mempersembahkan koleksi pakaian pelbagai variasi tema, inspirasi dan kategori yang menyerlahkan bakat dan potensi mereka dalam rekaan fesyen.

Pertunjukan bagi UiTM Degree Fashion Show 2018 telah diadakan di Panggung Sri, Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur.